Monday, 23 September 2019

JUS PEMBERSIH KOLESTEROL

JUS PEMBERSIH KOLESTEROL
Bahan-bahannya:

1 labu bawang putih
100g (5 inci ) Halia
3 biji buah lemon - diambil jusnya
125 ml cuka epal (apple cider vinegar)
350 ml madu lebah

Cara-caranya:
1. Kisar halia bersama 125 ml air.
2. Kisar bawang putih bersama 125 ml air.
3. Masukkan air halia, jus lemon dan cuka epal ke dalam periuk kaca. 
4. Panaskan ramuan campuran menggunakan api yang kecil sahaja selama 60 minit.
5. Masukkan air bawang putih ke dalam campuran yang dipanaskan tadi pada 10 minit yang terakhir.
6. Sejukkan campuran yang sudah dimasak.
7. Setelah campuran sejuk, tapiskan untuk diasingkan hampas halia dan bawang putih.
8. Masukkan madu lebah ke dalam jus yang sudah ditapis tadi. Kacau dengan sudu plastik hingga sebati sambil diiringi bacaan Al-Fatihah dan selawat ke atas Nabi s.a.w.
9. Simpan dalam bekas/botol kaca di tempat sejuk.

 Cara Makan:
Minum menggunakan sudu plastik, 1 sudu besar (sudu makan) sebelum sarapan pagi setiap pagi dan setiap malam sebelum tidur semasa perut kosong.

Jus ini bagus untuk rendahkan kolesterol, buang angin dalam badan dan baik untuk jantung juga.

Masa penyediaan jus, kena guna periuk kaca atau periuk tanah. Guna senduk kayu atau plastik.
Kalau pakai periuk besi, senduk atau sudu besi, takut hilang khasiatnya.

Satu adunan boleh dapat lebih kurang 700 ml jus pembersih kolesterol..

Selamat mencuba dan nikmatilah khasiatnya..




Monday, 22 July 2019

ROTI BERINTI

ROTI BERINTI
Bahan Inti:
1 peket ayam/daging kisar Ramly
2 biji bawang besar - potong dadu halus
3 sdm rempah kari daging
Garam
Perencah Hilal
1/2 cawan air

Bahan Tumbuk:
3 ulas bawang putih
1 inci halia

Cara Membuat Inti:
1. Panaskan sedikit minyak. Tumis bawang besar dan bahan tumbuk hingga layu dan wangi.
2. Masukkan rempah kari yang sudah dicampur sedikit air. Tumis hingga rempah masak.
3. Masukkan ayam kisar. Kacau rata. Masukkan 1/2 cawan air.
4. Masukkan garam dan perencah hilal. Kacau hingga air kering dan ayam kisar masak. Sejukkan inti.

Bahan Untuk Salut Roti:
5 biji telur
1/2 cawan susu segar
Garam
Lada Sulah

**  Campur semua bahan dan kacau rata. Ke tepikan.


Cara Buat Roti Berinti:
1. Belah roti burger.
2. Sudukan inti ke dalam roti. Tekan-tekan sikit inti tu supaya padat dan tak mudah terkeluar.
3. Panaskan sedikit minyak dalam kuali yang rata.
4. Celup roti ke dalam adunan telur dan goreng macam goreng murtabak tu. Guna api pelahan je.
    Siap dan bolehlah dihidangkan.


Thursday, 18 July 2019

RENDANG JERING/JENGKOL

RENDANG JERING/JENGKOL

BAHAN-BAHANNYA:

500 gram isi jering - direbus hingga empuk kemudian ditumbuk supaya leper dan lembut.

cili merah (ikut kepedasan yang digemari - nak pedas lagi boleh tambah cili api) - dikisar halus
2 helai daun salam
3 helai daun limau purut - dibuang tulang tengahnya
2 batang serai - dititik
1/4 sudu teh serbuk buah pala
5 kuntum cengkih
1 keping asam gelugor
1 batang kulit kayu manis
3 sudu makan kerisik
500 ml santan
garam
Perencah Hilal atau serbuk perasa atau secukup rasa

Bahan Kisar Halus:
4 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
3 biji buah keras
1/4 sudu makan biji lada putih
1 sudu makan biji ketumbar
2 inci halia
2 inci lengkuas

Cara Masak:
1. Panaskan 5 senduk makan minyak masak. Tumis bahan kisar dan serbuk buah pala hingga terbit minyak dan wangi.

2. Masukkan serai, daun salam dan daun limau purut.

3. Masukkan cili kisar. Tumis hingga terbit minyak.

4. Masukkan jering. Gaul rata,

5. Masukkan 500 ml santan.

6. Masukkan asam gelugor, cengkih, kulit kayu manis dan serbuk perasa Hilal. Masak hingga menggelegak.

7. Masukkan garam dan kerisik.

8. Masak hingga kuah kering.
Siap dan sedia untuk dihidangkan.

Wednesday, 23 November 2016

KEK CREPE COKLAT OREO

KEK CREPE COKLAT OREO
Bahan-bahan untuk crepe:
6 biji telur
2 cawan susu segar
1/2 cawan air
1/3 cawan butter yang dicairkan
1 sudu teh esen vanila
50g gula kastor
1 cawan tepung gandum
1/3 cawan serbuk koko
Cara membuat Crepe:

  1. Pukul telur, air dan susu hingga sebati. Masukkan esen vanila dan butter cair. Kacau hingga sebati.
  2. Masukkan gula, tepung dan koko. Kacau rata. (Selepas step ini, saya masukkan adunan ke dalam blender dan kisar hingga sebati).
  3. Menggunakan non stick pan, panaskan. Masukkan 1 senduk adunan. Buat seperti lempeng. Tak perlu terbalikkan lempeng. Bila atasnya sudah masak, terus angkat masukkan dalam pinggan. (Saya tak guna sudip untuk angkat crepe. Cuma terbalikkan pan atas pinggan. crepe akan jatuh elok atas pinggan tanpa koyak).
  4. Ulang langkah (3) sehingga adunan habis.

Bahan Untuk Topping:
2 cawan Non Dairy whipping cream
Biskut Oreo (Dibuang cream dan dihancurkan) - atau beli yang dah siap hancur di Kedai Bakery

Cara Melapis Crepe:

  • Lapiskan crepe dengan whipping cream. Taburkan dengan biskut oreo. Ulang langkah ini hingga habis.
  • Akhir sekali, salut kek coklat crepe dengan whipping cream. Hias ikut selera masing-masing. 


KEK BUTTER ORANGE - STRAWBERI

KEK BUTTER ORANGE - STRAWBERI
Bahan-bahannya:
2 cawan tepung gandum
1/2 sudu teh baking powder
1 cawan marjerin
1 cawan gula
5 biji telur ayam
1 sudu teh esen vanila
1 sudu makan pes orange emalco
1 sudu teh esen strawberi
1 sudu teh pewarna pink

Cara-caranya:

  • Masukkan ke dalam mangkuk adunan marjerin dan gula. Pukul hingga kembang.
  • Masukkan telur sebiji demi sebiji dan esen vanila. Pukul hingga rata.
  • Ayak tepung gandum dan baking powder. Masukkan ke dalam mangkuk adunan sedikit demi sedikit. Kaup balik hingga adunan tergaul rata.


  • Bahagi adunan kepada dua bahagian.
  • Satu bahagian dicampur dengan pes orange. Gaul hingga rata.
  • Satu bahagian lagi dicampur dengan esen strawberi dan pewarna pink. Gaul hingga rata.
  • Griskan loyang dengan marjerin, kemudian ditaburkan dengan sedikit tepung gandum. Buang lebihan tepung gandum di dalam loyang tu. (Tujuannya supaya kek tidak melekat diloyang setelah masak nanti)
  • Masukkan adunan kek berselang seli.
  • Bakar pada suhu 180'C selama 30 minit.


STEW KAMBING SEDAP

STEW KAMBING SEDAP
Bahan-bahannya:
1 kg kambing
1 tin kecil tomato puri
3 senduk nasi cili kering kisar
2 batang saleri - potong 1 inci
2 biji karot - potong 1 inci pjg
2 biji tomato - belah 4
Cendawan butang dalam tin - belah 2
2 biji kentang
 2 sudu makan serbuk sup ADABI
Air secukupnya
Garam Gula

Bahan Tumbuk Lumat:
1 inci halia
3 ulas bawang putih
2 biji bawang besar

Cara-caranya:

  1. Panaskan sedikit minyak dalam periuk. Tumis bahan tumbuk hingga wangi.
  2. Masukkan cili kisar, tumis hingga pecah minyak dan garing.
  3. Masukkan tomato puri dan air secukupnya.
  4. Masukkan daging kambing. Masak hingga daging empuk.
  5. Masukkan kentang, karot, cendawan. Masak hingga sayur empuk.
  6. Masukkan cendawan, saleri dan tomato. 
  7. Masukkan garam dan gula. Rasa biar kuah tu ada masam dan manis sikit.
  8. Tutup api dan sedia untuk dihidangkan.


Tuesday, 22 November 2016

AYAM INTANKU SAYANG

AYAM INTANKU SAYANG
(Lauk kegemaran Intan anak saya)

Bahan-bahannya:
1/2 ekor ayam - garam kunyit dan goreng hingga masak.
5 biji cili kering - basuh dan potong 3. (Nak pedas boleh tambah)
2 biji bawang besar - potong kasar
4 ulas bawang putih - hiris nipis
1/2 inci halia muda - hiris halus
2 sudu makan sos tiram
4 sudu makan kicap pekat manis
Garam secukup rasa
1/2 cawan air panas

Cara-caranya:
  1. Menggunakan sedikit minyak menggoreng ayam tadi, goreng sebentar cili kering hingga garing. (Hati-hati ya, jangan sampai cili hangus.)
  2. Masukkan bawang besar, bawang putih dan halia. Goreng hingga layu dan naik bau.
  3. Masukkan ayam goreng, sos tiram dan kicap manis. Gaul rata.
  4. Masukkan air panas dan garam secukup rasa. Masak hingga kuah pekat dan menyaluti ayam.
  5. Tutup api. Enak dimakan bersama nasi panas-panas.


NASI ALA KAK WOK KELANTAN

NASI ALA KAK WOK KELANTAN
Baru-baru ini saya ada bertandang ke Kota Bharu Kelantan. Waktu makan malam di sebuah restoran, saya telah order Nasi Kak Wok. Aduh! Mak... sekali suap terasa enaknya. Balik ke Kulim, teringat-ingat kesedapan Nasi Kak Wok.. saya cari-carilah resepinya untuk mencuba untuk masak sendiri. Maka inilah hasilnya.. Ala-ala gitu...

KARI AYAM KAK WOK
Bahan-bahannya:
1/2 ekor ayam
4 sudu makan rempah kari daging
4 sudu makan serbuk cili
2 sudu makan rempah beriani
200 ml Santan Kara (Boleh guna santan pekat fresh)
Air secukupnya
2 keping kiub ayam ADABI
1/2 sudu makan asam jawa - campur sedikit air untuk dapatkan jusnya
Garam

Bahan Tumis:
1 biji bawang besar - hiris nipis
1 inci halia - hiris halus
4 pelepah daun kari
1 batang kulit kayu manis
3 kuntum bunga lawang
5 biji buah pelaga
5 kuntum bunga cengkih

Cara-caranya:

  1. Panaskan sedikit minyak, tumis bahan tumis hingga wangi.
  2. Masukkan semua rempah yang telah dibancuh dengan sedikit air hingga menjadi pes. Tumis hingga pecah minyak.
  3. Masukkankan ayam. Gaul rata.
  4. Masukkan santan. Gaul rata.
  5. Masukkan air asam jawa, air secukupnya untuk jadi kuah. Masak hingga mendidih.
  6. Masukkan kiub ayam dan garam. Teruskan memasak sehingga pecah minyak. 
  7. Tutup api, sedia untuk dihidangkan.

AYAM GORENG KUNYIT
Bahan-bahannya:
1/2 ekor ayam
Garam
Serbuk kunyit
Serbuk pati ayam/ aji no moto/ perencah makanan HILAL
Kacang panjang - potong 2 inci panjang (saya tak bubuh)
Bawang besar - potong kasar

Cara-caranya:

  1. Gaul ayam bersama garam, serbuk kunyit dan perencah makanan HILAL. Perap sebentar.
  2. Panaskan minyak dalam kuali. Goreng ayam hingga masak.
  3. Masukkan kacang panjang dan bawang besar. Goreng sehingga kacang dan bawang layu.
  4. Angkat dan sedia untuk dihidangkan.

SAMBAL CUKA
Bahan-bahannya:
Cili merah
Cili api
Cuka
Garam
Gula

Cara-caranya:
Masukkan semua bahan dan sedikit air masak ke dalam blender. Blend hingga halus.
Sambal ni perlu ada rasa masam dan manisnya.
Sedia untuk dihidangkan.


Thursday, 11 February 2016

AYAM UNGKEP 2

AYAM UNGKEP 2
Bahan-Bahannya:
1 ekor ayam - potong ikut suka
1 sudu makan asam jawa + 2 cawan air (anggaran)
1/2 inci halia - hiris
Garam

Bahan Kisar Halus:
25 biji cili api
2 inci kunyit segar
2 inci halia
2 batang serai - hiris nipis
2 biji bawang besar
5 ulas bawang putih

Cara-Caranya:

  1. Panaskan sedikit minyak di dalam kuali/periuk, tumis halia hiris hingga kekuningan dan garing,
  2. Masukkan bahan kisar, tumis hingga pecah minyak.
  3. Masukkan ayam, gaul rata dan masak dalam 3 minit.
  4. Masukkan air asam jawa hingga paras ayam sahaja. Biarkan mendidih.
  5. Masukkan garam dan sedikit serbuk perasa. Biarkan ayam masak sambil dikacau sesekali hingga kuah pekat dan nampak berminyak. 
  6. Tutup api dan hidangkan.


Friday, 5 February 2016

KUAH KARI MAMAK

KUAH KARI MAMAK
Bahan-Bahannya:
4 sudu makan rempah kari daging FAIZA}
2 sudu makan rempah kari ikan FAIZA    } - dicampur dengan sedikit air hingga menjadi pes
1 sudu makan serbuk cili                           }

2 tangkai daun kari
2 kiub ayam ADABI
1 sudu makan asam jawa - dicampur dengan sedikit air hingga menjadi pes yang pekat
4 cawan air
Gula
Garam
3/4 cawan minyak

Bahan Tumbuk Lumat:
4 ulas bawang putih
4 biji bawang besar saiz sederhana
1 inci halia

Cara-Caranya:

  1. Panaskan minyak dalam periuk. Tumis bahan tumbuk hingga kekuningan.
  2. Masukkan daun kari dan campuran pes kari. Tumis hingga pecah minyak.
  3. Masukkan air. Biarkan mendidih.
  4. Masukkan kiub ayam, air asam jawa, gula dan garam. Biarkan kuah terus mendidih dan pekat. 
  5. Tutup api dan sedia untuk dihidangkan.
*** Kuah kari mamak ini sedap dimakan bersama nasi dan ayam goreng mamak. 
       Selamat mencuba.



Monday, 1 February 2016

AYAM MASAK KERUTUK

AYAM MASAK KERUTUK
Bahan-Bahannya:
1 ekor ayam - potong ikut suka
3 peket kecil rempah kerutuk ADABI - campur sedikit air hingga menjadi pes
2 batang serai - dititik
2 keping asam gelugor/asam keping
2 sudu makan kerisik
1 atau 2 kotak kecil santan
Garam dan gula

Rempah Tumis:
1 batang kulit kayu manis
2 bunga lawang

Bahan Tumbuk:
5 biji bawang besar
5 ulas bawang putih
1 inci halia

Cara-Caranya:

  1. Panaskan sedikit minyak di dalam kuali. Tumis rempah tumis dan bahan tumbuk serta serai hingga wangi dan agak garing.
  2. Masukkan rempah kerutuk, tumis hingga pecah minyak.
  3. Masukkan ayam dan sedikit santan. Masak dengan api perlahan hingga air ayam kering dan santan naik minyak.
  4. Masukkan santan selebihnya, kerisik, garam dan gula. Lebihkan gula kerana kerutuk mesti rasa manis sedikit. Biarkan ayam masak sambil dikacau sesekali supaya lauk tidak hangit hingga kuahnya menjadi pekat dan berwarna gelap.
  5. Tutup api dan hidangkan.


Friday, 22 January 2016

NASI AYAM PENYET (RESEPI LENGKAP)

NASI AYAM PENYET (RESEPI LENGKAP)

Bahan-Bahan: (UNTUK AYAM)
1 ekor ayam - dipotong 4
2 kiub ayam ADABI

Bahan Perapan Ayam:
1/2 sudu makan jintan manis
1/2 sudu makan jintan putih
3 sudu makan ketumbar biji
1/2 sudu makan serbuk lada putih
1 sudu makan serbuk kari daging
1 sudu makan serbuk kunyit
3 ulas bawang putih
1 cm halia
1 sudu teh garam
Sedikit air
Sedikit minyak
1/2 cawan tepung beras
1 biji telur

Bahan Sampingan:
Tempe - dihiris nipis
Tauhu - dihiris nipis
Terung panjang - dihiris serong nipis

Cara-Caranya:

  1. Cuci ayam bersih-bersih. Rebus ayam dalam air yang secukupnya untuk masak nasi dan dibuat sup. Masukkan kiub ayam. Rebus hingga ayam empuk. Angkat ayam dan sejatkan. Ketepikan.
  2. Dalam kuali, sangai (goreng tanpa minyak) jintan manis, jintan putih dan biji ketumbar dengan api yang perlahan hingga naik harum. Masukkan bahan sangai, serbuk kari, serbuk kunyit, serbuk lada putih, halia, bawang putih, garam ke dalam mesin pengisar. Tambahkan sedikit air dan kisar hingga halus. Lumurkan bahan kisar pada ayam  yang sudah direbus tadi. Perap selama 2 hingga 3 jam.. Nak sedap, perap semalaman. 
  3. Lebihan bahan kisar akan digunakan untuk menyalut tempe, tauhu dan terung, diperap dalam bekas berasingan sebelum digoreng.
  4. Baki bahan perapan, dicampur dengan sedikit air,tepung beras dan telur. Jika kurang masin,boleh dimasukkan sedikit garam. 
  5. Celup ayam yang diperap ke dalam adunan tepung beras, dan goreng terendam hingga warna kuning keemasan. Tak perlu goreng lama kerana ayam sudah masak. Angkat dan toskan.
  6. Baki adunan tepung celup ayam tadi, anda renjis-renjiskan dalam minyak yang panas dan goreng untuk mendapat keriuk-keriuk yang rangup.
*** Proses menggoreng boleh dilakukan setelah nasi, sambal penyet selesai disediakan.
*** Goreng tempe dahulu, diikuti oleh tauhu dan terung. Akhir sekali barulah goreng ayam menggunakan baki minyak gorengan tempe, tauhu dan terung tadi. Goreng ayam apabila masakan hendak disajikan untuk mendapat ayam goreng yang panas-panas.



Bahan-Bahan: (NASI AYAM)
4 cawan beras
3 ulas bawang putih - hiris nipis
1 batang kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
4 biji buah pelaga
5 1/2 cawan air rebusan ayam
2 helai daun pandan - disimpul
Sedikit marjerin/butter
Garam secukup rasa

Cara-Caranya:

  1. Bersihkan beras dan toskan.
  2. Di dalam periuk nasi, cairkan marjerin.  Tumis kulit kayu manis, bunga lawang, buah pelaga, bawang putih dan daun pandan hingga wangi.
  3. Masukkan beras dan goreng selama 3 hingga 5 minit.
  4. Masukkan air rebusan ayam dan garam. Kacau rata dan masak nasi seperti biasa hingga nasi masak sempurna. 
  5. Gemburkan nasi, tabur sedikit bawang goreng dan keep warm.



Bahan-Bahan: (UNTUK SUP)
Air rebusan ayam
1 sup bunjut
1 batang serai - dititik
1 inci halia - dihiris nipis
Daun sup dan daun bawang - dihiris
Bawang goreng

Cara-Caranya:

  1. Panaskan semula baki air rebusan ayam.
  2. Tambah sup bunjut, serai dan halia. Masak hingga mendidih.
  3. Perasakan dengan garam. Taburkan daun sup dan daun bawang. Tutup api.
  4. Bila hendak dihidangkan, taburkan sedikit bawang goreng.


 Tauhu dan Tempe Goreng


Terung Goreng


Bahan-Bahan: (UNTUK SAMBAL PENYET)
10 biji cili padi - dipatah 2
10 biji cili merah - dipatah 2 atau 3
4 biji bawang besar - belah 4
3 ulas bawang putih
5 biji buah tomato - belah 4
5 cm belacan bakar
2 sudu makan ikan bilis
1 keping gula melaka (anggaran 3 sudu makan)
sedikit minyak
Limau nipis

Cara-Caranya:
  1. Panaskan minyak dalam kuali. Goreng ikan bilis hingga garing. Angkat dan ketepikan.
  2. Dengan minyak yang sama, goreng cili api, cili merah,bawang besar, bawang putih dan tomato hingga layu. Angkat dan ketepikan.
  3. Apabila bahan gorengan sudah agak sejuk, masukkan ke dalam mesin pengisar, begitu juga ikan bilis goreng dan belacan. Masukkan sedikit minyak masak untuk menggantikan air ke dalam mesin pengisar. Kisar hingga halus.
  4. Masukkan bahan kisar ke dalam kuali dan tumis hingga harum dan pecah minyak. 
  5. Masukkan gula melaka dan garam. Kacau rata.
  6. Tutup api. Apabila hendak dihidangkan,perahkan jus limau nipis.


 Tarrraaaaaaaaaaaa............!!!!!




AYAM MASAK MERAH SEDAP

AYAM MASAK MERAH SEDAP
Bahan-Bahannya:
1 ekor ayam - digaul dengan garam-kunyit dan digoreng separuh masak
1 batang kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
6 sudu makan cili kering kisar
2 sudu makan sos cili
1 cawan santan pekat
1 hingga 2 cawan air - ikut banyak mana kuah yang dikehendaki
3 biji tomato - dibelah 4
Garam secukup rasa
Gula secukup rasa

Bahan Kisar Halus:
6 biji bawang besar
5 ulas bawang putih
1 1/2 inci halia

Bahan Hiris Nipis:
3 biji bawang besar
5 ulas bawang putih
2 inci halia


Cara-Caranya:

  • Panaskan minyak dalam kuali. Tumis kulit kayu manis, bunga lawang dan bahan hiris nipis hingga layu dan wangi.
  • Masukkan bahan kisar dan cili kering kisar. Tumis hingga pecah minyak.
  • Masukkan sos cili. Tumis lagi hingga pecah minyak.


  • Masukkan ayam yang digoreng separuh masak tadi. Gaul rata dan biarkan seketika.
  • Masukkan air mengikut banyak mana kuah yang dikehendaki. Kacau rata.
  • Masukkan santan. Kacau rata.
  • Masukkan buah tomato, garam dan gula. Kacau rata. Masak hingga pecah minyak dan kuah pekat seperti yang dikehendaki.
  • Tutup api dan hidangkan.