Recent Posts

Friday, 19 April 2013

KARI IKAN TERMENUNG/IKAN KEMBUNG

KARI IKAN TERMENUNG/ IKAN KEMBUNG
Bahan-bahannya:
10 ekor ikan termenung
2 peket kecil serbuk kari ikan - campur sedikit air untuk dijadikan paste
1/2 sudu makan asam jawa + 2 mangkuk air
3 pelepah daun kari
2 biji cili hijau - dipotong 1 inci
2 sudu teh halba campur
7 biji kacang bendi
2 biji tomato - dibelah 2
1 cawan santan

Bahan tumbuk/ hiris halus:
1 inci halia
3 ulas bawang putih
1 biji bawang besar

Cara-caranya:

  1. Panaskan minyak, tumis bahan tumbuk dan halba campur hingga bangkit bau.
  2. Masukkan paste kari, daun kari dan cili hijau. Tumis hingga pecah minyak.
  3. Masukkan air asam jawa dan santan. Biarkan mendidih.
  4. Masukkan ikan, garam dan sedikit perasa. Biarkan mendidih.
  5. Masukkan kacang bendi dan tomato. Biarkan hingga kacang bendi empuk.
  6. Tutup api dan sedia untuk dihidangkan.


Friday, 12 April 2013

TOMYAM UDANG

TOMYAM UDANG
Bahan-bahannya:
500 g udang saiz besar
Kobis bunga
1 batang karot
2 biji tomato - dipotong dadu
2 sudu makan paste tomyam
1/2 biji limau nipis - ambil jusnya
3 helai daun limau purut - dibuang batang tengahnya
2 batang serai - dititik
1 biji bawang besar - dipotong dadu
1 inci lengkuas - dihiris nipis
2 pokok daun sup - dicincang
2 mangkuk air

Cara-caranya:

  1. Didihkan air dalam periuk. Masukkan bawang besar, serai dan lengkuas. Biarkan mendidih.
  2. Masukkan paste tomyam dan karot. Biarkan mendidih.
  3. Masukkan kobis bunga dan daun limau purut. Biarkan mendidih lagi sekali. (Kalau nak pedas bolehlah dimasukkan cili padi yang dititik sahaja)
  4. Masukkan garam, serbuk perasa dan jus limau nipis. 
  5. Masukkan buah tomato dan daun sup. Kacau sebentar dan kuah mendidih.
  6. Tutup api. Baru masukkan udang. Kacau-kacau sebentar hingga kulit udang bertukar merah. (Kuah yang panas akan memasak udang tadi). 
  7. Sedia untuk dihidangkan.


Wednesday, 27 March 2013

SOTONG MASAK KICAP RINGKAS

SOTONG MASAK KICAP RINGKAS
Bahan-bahannya:
600g sotong - dibersihkan dan dipotong bulat 1 inci dan ditoskan airnya.
1 biji bawang besar - dimayang bulat
3 biji cili merah/hijau - dihiris kasar
2 keping asam gelugor
Kicap lemak manis secukupnya
Sedikit garam

Bahan tumbuk/hiris halus:
3 ulas bawang putih
1 biji bawang besar saiz sederhana

Cara-caranya:

  1. Panaskan 2 sudu makan minyak dalam kuali. Tumis bahan tumbuk hingga wangi.
  2. Masukkan semua bahan-bahan lain. Gaul rata hingga bawang besar layu dan sotong masak. (Masak sotong jangan terlalu lama, nanti dagingnya akan liat.)
  3. Tutup api dan sedia untuk dihidangkan.


Thursday, 21 March 2013

SAMBAL TUMIS SOTONG BERKARI

SAMBAL TUMIS SOTONG BERKARI
Bahan-bahannya:
600g sotong - dibersihkan dan ditoskan airnya
6 sudu makan cili kering kisar
1 peket kecil serbuk kari ikan - campur sedikit air untuk dijadikan paste
2 keping asam gelugor
1 biji bawang besar - mayang kasar
Garam
Gula

Bahan Tumbuk Lumat:
2 ulas bawang putih
1 biji bawang besar


Cara-caranya:

  1. Panaskan sedikit minyak dalam kuali. Tumis bahan tumbuk hingga wangi.
  2. Masukkan cili kisar. Tumis hingga pecah minyak.
  3. Masukkan serbuk kari ikan. Tumis hingga pecah minyak.
  4. Masukkan asam gelugor, sotong dan bawang besar mayang. Gaul sebati. (Tak perlu masukkan air kerana air dari sotong sudah cukup untuk mendapat sambal yang pekat).
  5. Masukkan garam dan gula secukupnya. Gaul sebati.
  6. Tutup api dan hidangkan.


CUCUR JAGUNG/ JEMPUT-JEMPUT JAGUNG

CUCUR JAGUNG/JEMPUT-JEMPUT JAGUNG
Bahan-bahannya:
2 cawan biji jagung - dihiris dari empulurnya
3 cawan tepung gandum
2 1/2 sudu teh garam
2 sudu makan gula
2 sudu makan cili kering kisar (pilihan)
1 biji telur
2 cawan air

Cara-caranya:

  1. Masukkan air, telur, garam, gula dan cili kisar ke dalam blender dan kisar hingga telur kembang.
  2. Masukkan jagung dan tepung ke dalam besen.
  3. Masukkan bahan kisar ke dalam besen yang mengandungi tepung sedikit demi sedikit sambil diadun hingga sebati dan dapat kepekatan yang sesuai. (Kalau terlalu pekat, boleh tambah sedikit air).
  4. Panaskan minyak yang banyak di dalam kuali.
  5. Jemputkan adunan tepung ke dalam kuali dan masak hingga kekuningan. 
  6. Ulang langkah 5 hingga adunan tepung habis.
  7. Hidangkan.


Thursday, 14 March 2013

SUP TAUHU TELUR - SAWI

SUP TAUHU TELUR - SAWI
Bahan-bahannya:
2 tiub tauhu telur/tauhu jepun - dipotong tiga
2 pokok sawi - dibersihkan dan dipotong 2 inci (asingkan batang sawi dengan daunnya)
sedikit udang
3 cawan air
2 ulas bawang putih - dihiris nipis
1 biji bawang besar (sederhana besar) - dihiris nipis

Cara-caranya:

  1. Panaskan 2 sudu makan minyak masak, Tumis bawang putih dan bawang besar hingga wangi dan kekuningan.
  2. Masukkan air. Biarkan hingga mendidih.
  3. Masukkan udang, tauhu telur dan batang sawi. Biarkan batang sawi lembut sedikit.
  4. Masukkan daun sawi dan garam. Biarkan hingga daun sawi layu.
  5. Tutup api dan sedia untuk dihidangkan.


Tuesday, 12 March 2013

BUBUR JAGUNG BUBUR CACA

BUBUR JAGUNG BUBUR CACA
Bahan-bahannya:
3 ketul jagung - hiris biji jagung dari empulurnya
1 mangkuk santan pekat
gula melaka secukupnya- cincang kecil-kecil
2 sudu teh garam
2 helai daun pandan - disimpulkan
1 mangkuk air

Bahan untuk tepung caca:
1 senduk tepung pulut
secubit garam
air secukupnya
Pewarma makanan biru, hijau, kuning dan merah

Cara membuat tepung caca:

  1. Campurkan semua bahan untuk tepung caca, masukkan air sedikit demi sedikit. 
  2. Uli tepung hingga membentuk doh yang bersih (tak melekat di tangan dan di besen)
  3. Bahagi adunan kepada empat bahagian dan warnakan.
  4. Gentel tepung kecil-kecil dan memanjang.

Cara membuat bubur:

  1. Didihkan semangkuk air. Masukkan daun pandan dan biji jagung. Biarkan hingga jagung masak.
  2. Masukkan gentelan tepung caca. Biar hingga tepung terapung.
  3. Masukkan gula melaka. Masak hingga gula larut.
  4. Masukkan santan pekat dan garam. Masak hingga mendidih.
  5. Rasa lemak manisnya.
  6. Tutup api. Sedia untuk dihidangkan.