Showing posts with label NASI AMBENG. Show all posts
Showing posts with label NASI AMBENG. Show all posts

Saturday, 29 September 2012

MEE GORENG


MEE GORENG
Bahan-bahannya:
1 bungkus mee kuning
Isi ayam - dipotong dadu
1 mangkuk udang - saiz ikut suka
2 sudu makan cili kisar
2 sudu makan sos cili
1 sudu makan sos tomato
2 sudu makan kicap pekat masin
2 sudu makan kicap pekat manis
2 pokok sawi - dipotong 1 inci

Bahan tumbuk lumat:
4 ulas bawang putih
2 biji bawang besar

Cara Masak:

  1. Panaskan sedikit minyak dalam kuali dan tumis bahan tumbuk hingga wangi.
  2. Masukkan cili kisar. Tumis hingga terbit minyak dan wangi. 
  3. Masukkan isi ayam dan udang. Gaul rata.
  4. Masukkan sos cili, sos tomato, kicap dan gaul rata hingga ayam dan udang masak.
  5. Masukkan garam dan serbuk perasa. Gaul rata. Rasa masin manisnya.
  6. Masukkan sawi dan mee. Gaul rata hingga mee masak.
  7. Sedia untuk dihidangkan.



SAMBAL GORENG

SAMBAL GORENG
Bahan-bahannya:
Kacang panjang - potong serong nipis dan digoreng hingga layu
3 biji kentang - dikupas, dibelah dua dan dibelah dua lagi dan dipotong nipis kemudian digoreng hingga masak.
2 biji karot - dipotong 1 inci dan dipotong mancis dan digoreng hingga layu
8 biji cili merah - dipotong serong nipis dan digoreng hingga layu
3 biji tauhu - dibelah 4 dan dipotong nipis dan digoreng hingga kekuningan
2 keping tempe - di belah 1 cm dan dipotong nipis dan digoreng hingga kekuningan
Hati dan pedal ayam - dicelur dan dihiris nipis.
Suun - direndam hingga lembut dan dipotong 2 inci
Tauhu kering/ Fucuk - direndam dan dipotong 1 inci
1 mangkuk santan pekat
1 sudu makan asam jawa - bancuh dengan sedikit santan cair supaya menjadi pes yang pekat
3 sudu makan cili kering kisar
3 sudu makan kicap manis

Bahan tumbuk lumat:
4 ulas bawang putih
1 biji bawang besar
1 sudu makan udang kering


Cara Masak:

  1. Panaskan sedikit minyak di dalam kuali. Tumis bahan tumbuk hingga wangi.
  2. Masukkan cili kisar, tumis lagi hingga terbit minyak.
  3. Masukkan pes asam jawa. Masukkan pedal dan hati ayam, kicap, garam dan sedikit gula. Kacau rata.
  4. Masukkan Fucuk dan semua sayuran yang telah digoreng tadi. 
  5. Masukkan santan pekat dan suun. Gaul rata hingga kuah kering.
  6. Sedia untuk dihidangkan.


AYAM UNGKEP

AYAM UNGKEP
Bahan-bahannya:
1 ekor ayam - potong ikut suka
4 sudu makan cili kering kisar
2 sudu makan rempah kari daging
4 helai daun limau purut
2 keping asam gelugor

Bahan Kisar:
1 inci lengkuas
1 inci halia
1 inci kunyit hidup
4 ulas bawang putih
2 biji bawang besar
2 batang serai
2 sudu makan ketumbar biji
1 sudu makan jintan manis
1 sudu teh jintan putih


Cara Masak:

  1. Panaskan sedikit minyak di dalam kuali. Tumis bahan kisar hingga wangi.
  2. Masukkan cili kisar dan rempah kari, kacau hingga terbit minyak dan bau wangi.
  3. Masukkan ayam, gaul rata dan biarkan hingga ayam layu sedikit.
  4. Masukkan air sekadar menutupi paras ayam. Masukkan asam gelugor. Gaul rata. Biarkan mendidih.
  5. Masukkan daun limau purut, garam dan serbuk perasa. Masak lagi hingga kuahnya pekat. Sesekali hendaklah dikacau supaya dasarnya tidak hangit.
  6. Sedia untuk dihidangkan.



SERUNDING KELAPA

 SERUNDING KELAPA
Bahan-bahannya:
2 biji kelapa - diparut putihnya sahaja
Air asam jawa secukupnya

Bahan kisar:
2 inci lengkuas
2 inci halia
2 inci kunyit hidup
2 batang serai - dihiris nipis
4 ulas bawang putih
2 biji bawang besar
2 sudu makan ketumbar biji
1 sudu makan jintan manis
1 sudu teh jintan putih
2 sudu makan udang kering

 Cara Memasak:

  1. Panaskan sedikit minyak di dalam kuali, tumis bahan kisar hingga wangi dan terbit minyak.
  2. Masukkan air asam jawa, garam dan gula secukup rasa. Kacau rata hingga mendidih.
  3. Masukkan kelapa parut. Kacau sentiasa dengan api sederhana perlahan hingga kelapa jadi ringan dan kering. 
  4. Sedia untuk dihidangkan.


NASI AMBENG


NASI AMBENG.....

Makanan istimewa masyarakat jawa terutama di negeri Johor dan Selangor. Selalunya disajikan semasa majlis kenduri-kendara dan dihidangkan di dalam dulang dan dinikmati bersama-sama dalam satu dulang oleh 4 hingga 5 orang.

Dah lama teringin nak makan nasi ambeng... tapi nak buat memang kena tunggu moodnya betul-betul datang sebab memang agak renyah terutama untuk buat serunding kelapanya.. Tapi setakat mana dapat ku tahan keinginan ini kan.. Hari ni ku gagahkan diri untuk buat nasi ambeng... Maka inilah hasilnya.

Dalam hidangan nasi ambeng yang lengkap mengandungi Nasi, ayam masak ungkep, sambal goreng, serunding kelapa, mee goreng dan ikan kering goreng. Ada juga yang memasukkan pajeri terung atau nenas, kacang panjang goreng. Yang pastinya lauk2 nasi ambeng ialah jenis yang tidak berkuah.